Sunday, January 11, 2009

nurul fatiha abd hamid jadi penyampai berita RTM

Tidak ramai yang mengetahui bahawa gadis kecil molek yang cukup sinonim dengan sukan gimnastik ini menyimpan impian menggunung untuk menjadi seorang penyampai berita. Kini, Nurul Fatiha Abd Hamid sudah berjaya menggapai impiannya di mana dia sedang sibuk menjalani latihan sebagai pembaca berita dan dijadualkan akan mula ke udara di kaca televisyen bermula bulan hadapan. Bukan itu sahaja, Nurul Fatiha juga mengatakan yang dia banyak meluangkan masa melihat gaya pembaca berita yang lain menyampaikan berita sebagai panduan serta persiapan awal.

Gadis lincah berusia 22 tahun ini merupakan penuntut tahun akhir di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang penyiaran. Nurul Fatiha telah menghambakan diri kepada arena sukan tanah air selama 13 tahun sedari tahun 1994 apabila diterima masuk ke dalam skuad muda kebangsaan dan mengambil keputusan untuk bersara sepenuhnya dari sukan gimnastik pada tahun 2007.

Sewaktu mendapat tawaran menjadi penyampai berita RTM sekitar bulan Oktober lalu anak bongsu daripada 3 adik-beradik ini mengambil keputusan untuk tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya terus maju ke hadapan untuk menjadi seorang penyampai berita yang berjaya memandangkan ia adalah kerjaya idamannya sejak kecil lagi. Dalam masa sama dia juga menerima tawaran untuk menjadi jurulatih, namun begitu dia menolaknya lantaran merasakan dia masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Menurut Nurul Fatiha, “Saya mula berjinak-jinak dengan dunia penyiaran ini apabila diberi peluang menjadi pengulas sukan bagi dua temasya Sukan Malaysia yang berlangsung di negeri Kedah Darul Aman dan juga negeri Terengganu Darul Iman. Pada pengamatan saya barangkali bakat saya mula mendapat perhatian ketika itu dan oleh itu saya dipanggil untuk menjalani ‘audition’ sebagai penyampai berita sukan ” ujarnya secara bersahaja.

Bila dilemparkan soalan sama ada dia menyesal meninggalkan dunia sukan yang telah sebati dengan jiwanya Nurul Fatiha hanya mampu tersenyum lebar sambil menjawab “Saya tidak menyesal meninggalkan gimnastik sebaliknya saya amat berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian saya setakat ini. Menerusi penglibatan saya dalam empat temasya Sukan Sea saya telah berjaya mengumpul enam pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa. Gimnastik juga telah membawa saya melancong ke luar negara dan mengenali ramai orang” ujarnya dengan penuh berseloroh.

Bila diminta menghuraikan dirinya dalam lima perkataan. Nurul Fatiha menyatakan dirinya seorang yang ‘happy go lucky’, sensitif, aktif, lincah dan juga ‘friendly’. Nurul Fatiha juga memaklumkan bahawa Hafizal Hamad merupakan idolanya dalam dunia penyiaran dan di masa lapangnya dia gemar melayari internet.

kredit to http://www.budiey.com/


No comments: