Saturday, September 22, 2007

Intan mula jemu watak sampingan

petikan dari Berita harian

Mahu buktikan kehadirannya kerana bakat bukan semata-mata jelita

SERAUT wajah manis milik Intan Ladyana Mohd Yahya membuatkan mata yang memandang tidak akan jemu menikmati keayuan dan kelembutannya. Dia hadir dengan segala pakej yang diinginkan untuk bergelar seorang bintang.

Intan, 25, bertuah kerana kelebihan parasnya memudahkan dirinya pantas menempa kedudukan istimewa di hati pengarah. Tapi jangan cepat membuat tanggapan kerana gadis kelahiran Kuala Lumpur ini lebih selesa dikenali kerana bakat, bukan kejelitaan raut wajahnya yang sedang menjadi bualan.
Tahun lalu, namanya mula bermain di bibir penggiat industri apabila diperkenalkan menerusi filem Tipah Tertipu The Movie. Hanya selepas membintangi Jangan Pandang Belakang, nama Intan laju memacu seterusnya dihujani tawaran baru untuk filem arahan Pierre Andre, I'm Not Single.

Saat nama sedang mekar, Intan meletakkan sasaran untuk terus mengasah bakat dengan mencuba pelbagai watak yang menguji, seterusnya mampu memahatkan dirinya dalam senarai pelakon watak utama.

"Intan akan terus mencuba dan mencuba kerana ketika ini masih terlalu awal untuk Intan meramalkan perjalanan dalam bidang seni. Intan sendiri masih tercari watak yang akan menyerlahkan kekuatan bakat, sekali gus memperkukuhkan lagi nama sebagai artis baru.
"Cuma Intan sangat bersyukur kerana berpeluang menjalani kehidupan dalam bidang yang sangat Intan cintai," kata penggemar teh hijau yang terkenal dengan karakter manjanya ini ketika ditemui pada sesi penggambaran I'm Not Single di Bukit Fraser, Pahang, baru-baru ini.

Daripada filem komedi muzikal dalam Tipah Tertipu, beralih ke genre seram menerusi Jangan Pandang Belakang dan terbaru mencuba pula jalur komedi romantik, Intan menerima lamaran MIG Productions untuk membintangi I�m Not Single kerana kelainan yang cuba dibawakan filem itu.

Sementelahan I'm Not Single adalah percubaan ketiga di layar lebar, Intan berkata, masih banyak yang perlu dicuba untuk membentuk dirinya sebagai pelakon berwibawa.

"Intan ingin mencuba watak berbeza, malah sentiasa mencabar diri untuk melakonkan peranan berlainan kerana lakonan adalah cinta utama," kata pemeran watak Lisa dalam filem ke-25 terbitan MIG itu.

Dua tahun melayari bakat, malah lakonannya juga semakin menyerlah dalam siri drama seperti Trio, Bujal, Puteri dan Jelatang, Intan berterima kasih kepada Jangan Pandang Belakang yang memberi impak besar kepada permulaan karier lakonannya.

Meskipun persembahannya dikritik hebat, pungutan lumayan filem yang berdasarkan skrip oleh Pierre Andre itu membuka mata penggiat industri kehadiran bakat baru bernama Intan Ladyana.

Malah katanya kini, dia sentiasa mencabar diri untuk melangkah lebih jauh dan tidak mahu hanya sekadar bertahan dengan watak sampingan semata-mata.

Katanya, apa yang penting kini adalah yakin dengan kemampuan sendiri dan apabila peluang tiba di depan mata, dia harus membuktikannya.

"Intan boleh menerima kritikan, meskipun pedih Intan tahu pandangan yang dilemparkan itu berniat baik. Pengkritik prihatin dengan apa yang Intan lakukan, justeru Intan perlu berusaha membuktikan Intan boleh berubah dan tidak hanya selesa di takuk lama.

"Cuma setakat ini, Intan belum menerima tawaran watak berat. Begitu juga dengan watak Lisa dalam I'm Single. Peranannya tidak terlalu berat atau menuntut emosi dalaman, namun Intan menerimanya kerana ingin mencari kepuasan mencuba pelbagai watak," katanya.

Tidak menafikan seharian di lokasi ada ketika menuntut ketahanan fizikal yang tinggi, bekas penuntut jurusan Undang-Undang ini percaya selagi ada minat, semua kesukaran itu akan berjaya diatasinya.

Disebabkan itu kata Intan, meskipun diburu kesibukan dan jadual yang padat kerana pada masa sama turut menggalas peranan sebagai duta produk kecantikan Clarins, dia bahagia dengan pilihan yang dibuatnya.
"Intan masih mahu mencuba dan akan terus mencari kerana di sini jiwa Intan menemui kepuasan yang hakiki," katanya yang turut dikenali sebagai pengacara dan pelakon iklan.
INFO: Intan Ladyana
Nama Penuh: Intan Ladyana Mohd Yahya
Tarikh Lahir: 2 Jun 1982
Zodiak: Gemini
Tinggi/Berat: 5�5�/44kg
Hobi: Berenang, menari dan membaca
Profesion: Aktres, hos dan model iklan
Komersial: Nivea Skincare, Follow Me, Jacob�s, Celcom, Sunsilk, Acuvue, Toyota Hilux, Dentyne, Oil Of Olay, Deify Skincare dan Hotlink
Pengacaraan: Hello Minda dan Adventure Race 2006
Drama/Telemovie: Trio, Bujal, Puteri dan Jelatang
Filem: Tipah Tertipu, Jangan Pandang Belakang dan I�m Not Single

No comments: