Saturday, September 29, 2007

luahan hati amy search





Kisah kurangnya lagu-lagu tempatan dimainkan di corong radio di MALAYSIA seolah-olah bagai api dalam sekam. Membara dan membakar tetapi tiada siapa yang cuba memadamkannnya. Penyanyi tempatan pula ramai yang seolah-olah takut untuk bersuara meluahkan rasa tidak puas hati. Tapi berlainan bagi rockers terkenal negara; Amy Search.

Inilah luahan hati Amy Search yang dipetik daripada ruangan Mega, Utusan Malaysia.

“Saya tak faham sikap penyampai radio terutama stesen radio swasta hari ini. Dia orang ni macam berlumba-lumba mempopularkan lagu asing.” Begitu komen Amy Search menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap layanan stesen-stesen radio swasta kepada lagu-lagu tempatan.

Ini bukan cerita baru. Tapi sudah sekian lama diperkatakan oleh ramai penyanyi-penyanyi kita yang lain. Malah pegawai-pegawai promosi syarikat rakaman tempatan juga lantang menyuarakan isu yang sama sejak lama dulu.

Namun mereka tidak mahu namanya disiarkan. “Takut lagu kena gam,” kata mereka.

Tapi Amy bersikap berani. Katanya, “Kena gam? Biarlah kalau stesen-stesen radio itu mahu gam. Saya tak kisah kerana sebagai rakyat negara ini, saya rasa bertanggungjawab untuk memperkatakan isu ini.”

Menurut Amy, ramai pemuzik dan band-band luar datang ke negara ini diberi layanan istimewa oleh pihak penganjur sedangkan artis tempatan yang datang ke negara mereka, begitu sukar mendapatkan permit persembahan di sana.

“Inilah yang terjadi kepada artis IKON negara yang tidak diberi permit untuk mengadakan persembahan di Indonesia, baru-baru ini. Sebagai pemuzik dan peminat muzik tempatan kita seharusnya memperjuangkan hak dan maruah muzik negara,”.

“Seharusnya penyiaran lagu-lagu luar itu dihadkan jumlahnya supaya tidak ada lagu-lagu artis tempatan dipinggirkan. Ramai artis kita yang berkecil hati dengan stesen radio tempatan kerana lagu mereka tidak disiarkan tetapi lagu-lagu dari seberang berulang kali diputarkan,” katanya.

Tambah Amy, sebagai warganegara sebuah negara berdaulat apatah lagi baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan, seharusnya jati diri kita sudah semakin kuat dan pemikiran tidak lagi dijajah.

“Tapi kebanyakan deejay radio stesen swasta macam tak faham erti merdeka. Beriya-iya laung merdeka. Tapi lepas tu putar lagu seberang. Macamlah kita ni tak ada lagu sendiri."

“Penganjur konsert pula hanya memberi peluang kepada artis tempatan buat persembahan ketika musim perayaan sahaja. Macam mana artis tempatan nak naik jika peluang untuk mereka ‘tergugat’ di negara sendiri,” kata Amy bersemangat.

Semua itu, kata Amy hanya menambahkan lagi aliran wang ke luar negara.

“Setiap lagu yang dipersembahkan di negara ini, di bayar royalti oleh Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP). Tapi kalau dah semua lagu yang dimainkan tu lagu-lagu seberang, semakin banyaklah wang mengalir ke luar negara."

“Artis luar adalah kawan dan bukan untuk dimusuhi, tetapi dalam masa yang sama, kita sebagai rakyat negara ini harus menjaga kepentingan muzik dan artis tempatan terlebih dahulu,” ujar Amy.

No comments: