Friday, November 30, 2007

Airmata Amy Search : Korban Rambut Tanda Insaf



ADA yang menyokong, tidak kurang juga memberi reaksi sebaliknya apabila Amy Search menyatakan hasrat menunaikan umrah. Pelbagai tanggapan timbul, kononnya pemergian Amy ke Makkah suatu yang pelik kerana imejnya sebagai penyanyi rock. Namun, semua itu tidak
melunturkan semangat Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 49, meneruskan hasratnya.

Ketika di Makkah, Amy sekali lagi diuji apabila mendengar kata-kata orang mempertikaikan kehadirannya di situ hasil daripada wang menyanyi.

"Dalam sibuk beribadat, masih ada orang sempat memperlekehkan insan lain. Saya terdengar perbualan seseorang mempertikaikan kehadiran saya di Tanah Suci. Barangkali maksudnya saya ini penyanyi, maka wang yang saya peroleh tidak halal.

"Alhamdulillah, saya sedikitpun tidak melenting kerana umrah urusan saya dengan Yang Maha Esa. Dia Maha Mengetahui, Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Pengampun, Maha Bijaksana dan Maha segala-galanya. Sama ada saya diterima atau tidak, itu juga hak Allah.

"Yang pasti, sewaktu mengambil keputusan ini dulu hati saya sudah bulat dan saya berserah dengan apapun dugaan yang bakal ditempuh," kata Amy ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Amy berangkat bersama isteri, Hasniza Hassan atau mesra dipanggil Norish, 26, berkata keinginan mengerjakan umrah terdetik beberapa tahun lalu tetapi hanya tahun ini berpeluang ke sana.

"Saya anggap ia satu perjalanan yang sudah tertulis dalam kamus hidup saya. Selaku manusia tidak terlepas melakukan dosa, saya bersyukur kerana terpilih daripada puluhan juta umat Islam sebagai tetamu Allah SWT pada usia 49 tahun.

"Ada orang mendapat peluang ini ketika muda, ada yang pergi ketika sudah berusia dan ada yang tidak sempat langsung. Justeru, saya amat terharu dan bersyukur kerana menjejakkan kaki ke rumah Allah," katanya.

Turut sama dalam rombongan Amy pada 29 Mei hingga 11 Jun lalu, ahli keluarga termasuk Ustaz Badrul Amin dan isteri. Tiada sebarang kejadian aneh menguji, bahkan Amy bersyukur perjalanan melakukan umrah begitu mudah.

"Mula-mulanya ada masalah, itupun di Lapangan Terbang Changi, Singapura sebelum bertolak ke Karachi, Pakistan kerana penerbangan ditunda 3 jam. Di Karachi sekali lagi perkara sama terjadi tetapi semuanya tidak mematahkan semangat saya.

"Selepas mengharungi perjalanan panjang akhirnya kami tiba di Madinah. Masa itu saya tidak dapat menahan sebak. Lain orang mungkin lain perasaan mereka, namun saya merasakan saat itu begitu dekat dengan Rasulullah.



"Paling seronoknya sepanjang mengerjakan umrah saya dapat sembahyang Jumaat dua kali iaitu di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram, Makkah.

"Selama empat hari di Madinah, saya berpeluang solat di Raudah, salah satu taman syurga. Bukan mudah merebut peluang bersembahyang di Raudah kerana kawasannya amat terhad dan tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai.

Ketika tiba di Makkah, Amy mengucap syukur sebaik saja melihat Kaabah. Katanya, rasa gemuruh serta tidak percaya kerana benda ajaib yang selama ini hanya dilihat dalam buku dan ditonton di televisyen, berada di hadapan mata.

"Ia cukup indah hingga saya menangis sekali lagi. Selesai berehat, saya terus melakukan tawaf. Saya juga mengorbankan rambut. Malah saya berikrar mahu kekal dengan imej begini selama-lamanya kerana dengan cara ini hati saya sentiasa terkenangkan Makkah.

"Ketika di Makkah, saya suka melalui pintu 62 dan 58 kerana mudah berada di barisan hadapan menghadap Kaabah. Pelbagai cerita menarik saya lalui, tapi yang tidak boleh dilupakan ketika berada ke Gua Hiraq, tempat wahyu pertama diturunkan. Sungguh ajaib.

"Ketika di puncak Gua Hiraq, tiba-tiba lirik lagu Mentari Di Ufuk Timur bermain-main di telinga saya. Antara bait-bait lagu yang berulang kali kedengaran adalah: "Kekal selamanya cintaku dengan cahayaMu, kekal selamanya tetap dalam ingatanku."

"Saya amat terharu kerana lagu yang selama ini saya nyanyikan tanpa dapat menghayati maksud sebenarnya, rupanya memuji kebesaran Yang Maha Esa," katanya.

Mengenai doanya ketika di Makkah, Amy berkata, dia mohon pada Allah SWT tetapkan hatinya supaya tidak malas sembahyang dan mematuhi segala yang termaktub dalam Rukun Iman dan Rukun Islam.

"Saya berdoa di hadapan Kaabah supaya keluarga, sahabat termasuk peminat diberi kebahagiaan dan kebaikan dalam hidup mereka.

"Lebih 25 tahun menjadi penyanyi, saya tidak pernah memesongkan orang meskipun saya disanjung dan dipuja. Mereka yang meminati suara dan cara saya menyanyi, semua itu satu anugerah dari Yang Maha Esa.

"Jika saya yang jahil ini diterima sebagai tetamu Allah SWT sekali gus dapat menjalani ibadah dengan tenang, saya pasti Dia juga menerima hambanya yang lain seperti saya.

"Saya harap pintu hati peminat dibukakan untuk mengerjakan ibadah ini termasuk haji. Insya-Allah, saya akan melakukan umrah sekali lagi tahun ini iaitu ketika Ramadan nanti kerana mahu merasai pengalaman berpuasa dan beraya di Makkah. Saya juga mengalu-alukan peminat
menyertai saya," katanya.

Sementara itu, Norish yang semakin manis bertudung berkata, dia ternampak kejadian aneh seekor merpati ketika bersembahyang di Raudah tetapi dia mahu menyimpannya sebagai rahsia peribadi.

"Untuk mendapatkan kepastian, saya bertanya Ustaz Badrul dan dia memberitahu ia fenomena biasa di Madinah, apatah lagi merpati burung kesayangan Rasulullah.

"Satu lagi pengalaman indah sewaktu kami mengunjungi Jabal Rahmah dan ketika mohon doa agar jodoh kami dipanjangkan, tiba-tiba saja perasaan kami suami isteri terasa seperti zaman bercinta.

"Saya juga cukup bertuah kerana doa saya untuk menyentuh Hajaratul Aswad dimakbulkan. Tanpa disangka, sebaik membuka mata tangan saya sudah memegang batu itu walaupun kiri kanan sesak dengan manusia," katanya

No comments: