Monday, November 12, 2007

Selebriti jual anak sendiri

KAK Tim didatangi seorang kawan yang terlibat di belakang tabir dunia hiburan tanah air. Dan, Kak Tim cukup terkejut dengan ceritanya yang satu ini. “Aku baca catatan kau minggu lalu, tentang pelakon dibayar jadi teman Datuk. Kau macam tak percaya dengan cerita tu sebab kau kata, artis sekarang lebih berpendidikan.

“Tapi kau patut percaya, tak semua orang pandai itu cerdik. Golongan inilah, termasuk artis yang selalunya menjadi habuan kepada mereka yang suka `mengenakan’ orang lain untuk kesenangannya,” kata kawan itu yang membuat Kak Tim berkerut dahi, tak memahami maksudnya.

Rupanya dia tak terkejut dengan cerita-cerita seperti yang Kak Tim catatkan minggu lalu kerana katanya, “Realiti hari ini, ada yang lebih dahsyat daripada itu.

“Kau mesti terkejut kalau aku ceritakan ada selebriti yang sanggup `jual’ anak sendiri untuk kesenangan hidupnya. Ini bukan cerita lama tapi yang sedang berlaku sekarang ni,” begitu katanya. Dan, bulu roma Kak Tim meremang mendengarnya.

Daripada ceritanya, Kak Tim difahamkan, baru-baru ini ada selebriti wanita yang membawa anak gadisnya ke kelab hiburan. Si ibu sakan ‘minum’ sampai mabuk. Ketika mahu pulang, mereka dihantar oleh kenalan si ibu, seorang lelaki bangsa asing. Sampai di depan rumah, si ibu meminta anak gadisnya menemani temannya itu seketika di dalam kereta kerana katanya, dia mahu masuk ke dalam rumah untuk mengambil sesuatu untuk diberikan kepada temannya itu.

“Tapi sebelum itu, lelaki tersebut telah menghulurkan wang RM5,000 kepada si ibu. Dan, semasa berduaan dalam kereta, lelaki itu mula bertindak ‘ganas’ terhadap anak gadis selebriti itu,” cerita kawan Kak Tim.

Terkejut dengan kejadian itu, si gadis lari masuk ke dalam rumah dan mengunci diri dalam bilik. Tidak lama selepas itu, ibunya meminta dia membuka pintu.

Sebaik bersemuka, si ibu bukan cuba memujuk anak gadisnya itu tetapi dimarahinya kerana tidak ‘melayan’ lelaki itu.

“Aku tahu cerita ni, sebab `budak’ tu sendiri cerita dengan aku. Kasihan dia menangis teresak-esak,” cerita kawan Kak Tim tu panjang lebar.

Alahai! Sesak dada Kak Tim mendengar ceritanya. Memang memeranjatkan. Apa lagi selebriti yang dikatakan ini pun memang sudah lama tidak aktif dalam dunia hiburan. Rumah tangganya pun sudah lama berantakan. Khabarnya dia mengalami kesempitan hidup, sebab itu dia cuba mencari `bantuan’ daripada anak gadisnya.

Apa yang mengecewakan, caranya cukup terpesong. Sepatutnya, ibu menjadi pelindung anak-anak. Tapi selebriti ini cuba menggunakan kuasanya sebagai ibu untuk memaksa anaknya melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Golongan seperti inilah yang akan mencemarkan dunia artis. Seperti yang Kak Tim katakan minggu lalu, `akan merosakkan susu sebelanga’. Bayangkan! Sekiranya si anak membuat dakwaan terhadap perbuatan ibunya? Tentu sekali akan menjadikan orang luar memandang rendah selebriti tempatan.

Sesuatu perlu dilakukan oleh persatuan-persatuan artis agar perbuatan si ibu tidak berlarutan. Persatuan-persatuan artis sepatutnya memantau dan membantu para artis, penggiat filem dan drama yang bermasalah seperti ini agar tidak berterusan sehingga menjadi kes jenayah. Dan, dalam hal-hal seperti ini, rakan-rakan artis boleh mengamalkan sikap ‘menjaga tepi kain’ dengan niat untuk memberikan bantuan agar tidak terjadi sebarang kejadian yang boleh mengaibkan dunia seni tempatan keseluruhannya.

KAK TIM: Suka juga jaga tepi kain orang.

No comments: