Friday, November 16, 2007

fAshA naFi SkanDaL d3ngAn SuaMi ArTis p0puLaR


post from gua.com

Apa sahaja yang dilakukan oleh pelakon popular Fasha Sandha, ianya sudah pasti akan menjadi perhatian ramai. Namun itulah harga yang perlu dibayar olehnya apabila menjadi selebriti dan dikenali oleh segenap lapisan masyarakat.

Selain dilimpahi populariti dan kemasyhuran, Fasha juga perlu berdepan dengan pelbagai gosip yang adakalanya 'menyentap' hati wanitanya. Boleh dikatakan hampir setiap hari, pasti ada sahaja cerita mengenainya. Namun Fasha yang sudah biasa dengan cabaran bergelar anak seni sedikit pun tidak melatah dengan pelbagai gosip yang dilemparkan kepadanya. Sebaliknya dia lebih suka mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan gosip yang tidak berasas itu berlalu ditelan masa.

“Biarlah orang nak cakap apa pun. Saya tahu apa yang saya lakukan dan saya tidak pernah terlibat dengan gosip yang mengatakan saya berkawan rapat atau mempunyai hubungan dengan suami orang atau pun VVIP ,” ujar Fasha ketika ditanya tentang gosip yang mengatakan dia kini cuba menjalinkan hubungan istimewa dengan suami seorang artis wanita yang tidak kurang cantiknya.

Menurut Fasha, buat masa ini dia tidak mahu lagi memikirkan tentang gosip sebegitu dan enggan melayan gosip kerana sedar ianya langsung tidak memberikan sebarang faedah kepadanya. Namun katanya jika gosip tersebut keterlaluan dan boleh menjatuhkan maruah serta mengaibkan diri atau keluarganya dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuklah tindakan mahkamah.

“Sebelum ini pun orang pernah cakap saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat kepada golongan VVIP. Malah saya juga dikatakan sedang bercinta dengan ramai selebriti lelaki. Tetapi dalam masa yang sama saya langsung tidak pernah memberikan kenyataan kepada sesiapa yang mengatakan saya bercinta.

Sebabnya saya memang tidak bercinta dan berkawan sahaja dengan mereka. Oleh sebab
itu saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana gosip tersebut memang tidak benar. Pada saya gosip yang tidak benar itu dengan sendirinya akan berhenti. Dan pastinya selepas itu akan muncul pula gosip-gosip baru yang direka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” jelas Fasha berterus-terang.

Katanya lagi, dunia seni memang dipenuhi dengan gosip dan sebagai seorang selebriti
dia perlu bijak menanganinya. Malah katanya sejak mula berkecimpung di dalam dunia glamor ini beberapa tahun lalu dia sudah nekad untuk menghadapi apa sahaja dugaan dan halangan termasuklah cabaran gosip dan itulah yang dilakukannya kini.

“Jujur saya akui saya malas nak layan gosip. Sebabnya gosip tak akan berhenti. Apa yang penting saya tahu apa yang saya lakukan betul, saya tidak akan hiraukan dengan apa sahaja gosip yang ditujukan orang kepada saya. Sehingga kini keluarga juga percaya kepada saya dan pihak penerbit serta pengarah yang pernah bekerjasama dengan saya, selesa untuk terus memberikan tawaran kepada saya. Dalam masa yang sama peminat juga sentiasa memberikan sokongan kepada karier seni saya.

“Saya hanya buat kerja saya. Pada saya selagi gosip yang dilemparkan tidak mempunyai bukti kukuh, tidak menjatuhkan maruah diri serta keluarga saya, saya fikir lebih baik saya mendiamkan diri. Ini kerana saya tahu dan percaya, apa sahaja yang kita lakukan lambat laun akan diketahui orang dan jika saya berada di pihak yang benar saya yakin Allah akan tunjukkan kebenaran tersebut.”

Duta Maybelline dan Garnier ini juga mengakui hatinya masih belum berpunya. Bagaimanapun pelakon jelita ini mengatakan yang dia merancang menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun. Buat masa ini dia mahu lebih fokus kepada bidang seni.

No comments: