Friday, November 16, 2007

Klon Mawi tak senonoh -Harian Metro 14 Nov 2007


PERIHAL pelanduk dua serupa seakan menjadi igauan ngeri bagi sebilangan artis tanah air. Masakan tidak, apabila orang yang seiras dengan mereka berkelakuan tidak baik di khalayak ramai tapi mereka pula yang menjadi mangsanya.

SS akui, sudah ketentuan Illahi dan tiada siapa dapat mengubah bentuk wajah dan fizikal apabila dikatakan mereka serupa dengan seseorang artis. Tetapi kelakuan tidak bermoral segelintir ‘klon’ artis ini boleh disalah tafsir masyarakat yang tidak kenal dengan rupa sebenar artis pujaan mereka.

Semalam SS ada menerima panggilan telefon daripada pembaca setia Harian Metro memberitahu dia ternampak ‘klon’ Juara Akademi Fantasia 3, Mawi makan di restoran milik selebriti terkenal di Bukit Bintang.

Kata peminat setia Mawi itu, sekali imbas memang lelaki itu nampak seperti Mawi tapi selepas diamat-amati, ternyata ‘dia’ bukan Mawi kerana mukanya ‘panjang’ sedikit.

Apa yang mengejutkan lagi, ‘klon’ Mawi yang pernah menghadiri uji bakat rancangan sama itu berpakaian tidak senonoh dengan memakai subang dan merokok.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, Mawi begitu menjaga perilakunya dan tidak merokok. Malah kata peminat itu lagi, dia memang kenal dengan Mawi. Kalau keluar, Mawi mesti ditemani pembantu peribadinya atau staf Maestro.

Apa yang dibimbangi peminat setia Mawi itu, dia tidak mahu orang tersalah anggap mengatakan lelaki itu Mawi kerana penyanyi popular berkenaan berada dalam keadaan ‘tenang dan bersih’ ketika ini serta tidak dilingkari sebarang kontroversi.

Bagi SS, tidak kiralah sama ada rupa anda persis artis atau tidak, peliharalah tingkah laku di khalayak ramai, takut kalau-kalau orang lain yang buat silap, orang lain yang kena.

Dalam sibuk bercerita klon, ada juga sebenarnya artis yang berkelakuan tidak elok tapi tidak mengaku dan mengatakan itu pelanduk dua serupa. Dalam kes ini lagi teruk.

No comments: