Friday, November 23, 2007

Bapa tegur aksi Faizal


Ketika dua lagu dendangannya, Kasih Tercipta dan Mahakarya Cinta diumumkan layak ke Peringkat Akhir kategori Balada Anugerah Juara Lagu ke-22, Ahad lalu, seronoknya Faizal bukan kepalang.

Sehinggakan, aksi meluncur (slide) dianggap keterlaluan kerana lebih sudu dari kuah berbanding komposer dan penulis lirik.

"Mengapa orang suka salah faham? Salahkah saya mewakili kegembiraan pencipta lagu walaupun saya bukanlah komposer atau penulis lirik lagu itu. Yang pasti aksi meluncur (slide) berlaku secara spontan bukan disengajakan untuk meraih perhatian ramai.

"Ketika itu saya amat terkejut hinggakan memberi ucapan pun saya tidak mampu. Malah saya berani bersumpah ketika pengacara ingin mengumumkan lagu terakhir layak ke final balada, hanya dua lagu terlintas di fikiran saya.

"Kalau tidak lagu Bisakah dari Datuk Siti Nurhaliza mungkin Hilang dari Diddy. Namun apabila pengacara menyebut Mahakarya Cinta akan ke final, saya terkejut. Tidak pula saya menafikan kehebatan lagu ciptaan Audi Mok ini.

"Namun memikirkan Siti satu nama besar sementara Diddy mempunyai lagu yang hebat membuatkan saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi terhadap Mahakarya Cinta," katanya.

Selain, Mahakarya Cinta hasil ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Mohd Shariza Shamsiri sebuah lagu dendangan naib juara OIAM ini yang layak ke final balada adalah Kasih Tercipta nukilan Ajai dan pengarah terkenal Shuhaimi Baba selaku penulis liriknya.

Katanya lagi, aksi meluncur itu sudah menjadi 'trademark' nya dan dia sering lakukan dalam setiap persembahan sebelum ini. Ia juga sebagai satu cara menunjukkan penghormatan kepada penonton yang memberi sokongan padu.

Berhubung kelakuannya yang dikatakan 'over', Faizal memberitahu, orang pertama yang menegurnya bapanya sendiri Dr Mohd Tahir.


"Kiriman SMS yang berbunyi 'well done, but next time be more cool'. Saya tidak sangka bapa saya boleh berkata begitu walaupun dia sebenarnya tahu saya memang macam ini.



"Namun saya faham mungkin dia berkata begitu kerana bimbang orang luar tidak dapat menerimanya kerana mereka tidak kenal sikap saya sebenarnya.

"Di kesempatan ini saya ingin memohon maaf secara terbuka, ikhlas dari hati kepada semua yang tersinggung dengan perbuatan saya. Saya tidak berniat dan tidak terfikir mendapat perhatian ramai," katanya

No comments: