Friday, November 16, 2007

Erra tak hadir majlis pelancaran filem Hans


Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

JANGAN ada yang membuat sebarang spekulasi seandainya kelibat pelakon jelita Erra Fazira tidak kelihatan di majlis pelancaran filem Cuci arahan Hans Isaac di Menara Kuala Lumpur hari ini, walaupun ketika isu cinta tiga seginya menggoncangkan industri hiburan, dia pernah menitipkan janji untuk bersikap profesional.

Kata si cantik manis yang diijabkabulkan dengan Ketua Pegawai Operasi (COO) Suria FM, Engku Emran Engku Zainal pada 25 Oktober lalu, kerja dan masalah peribadi tidak akan dicampur aduk.

Namun hari ini, Erra Fazira seperti yang disahkan oleh pengurusnya, Syed tidak dapat hadir seperti yang dijanjikan. Bagaimanapun ketidakhadiran itu bersebab dan bukan sengaja dia mahu memungkiri janji yang pernah dibuat tetapi ada perkara lain yang terlebih dulu datang bertandang.



Itu juga tidak bererti dia lupa terus pada tanggungjawabnya sebagai salah seorang teraju utama filem berkenaan kerana jika tiada aral dia akan datang juga di majlis tayangan filem berkenaan.

Tetapi berita yang peminatnya hendak dengar adalah sejak disatukan dengan Engku Emran, wajah Erra kelihatan semakin berseri-seri. Tatkala menghadiri majlis Rumah Terbuka Suria FM di Hotel Equatorial selepas seminggu bergelar isteri, pasangan pengantin baru itu memilih warna sedondon merah jambu.

Di wajah jelita Erra seakan-akan terpancar sinar kebahagiaan yang kini sedang dikecapi. Sesekali dia tersenyum malu apabila disapa dengan panggilan ‘puan’. Mungkin cuba menyesuaikan diri selepas lebih setahun gelaran itu ditinggalkan. Barangkali terlalu awal juga untuk bertanya bagaimanakah perasaannya sejak kembali bergelar isteri.

Erra sendiri mengakui, dia kini masih dalam proses untuk menyesuaikan diri kerana bekas suaminya dulu orang seni sepertinya sementara kerjaya Emran pula jauh daripada cabang seni yang diceburi dirinya.

"Setakat ini Erra masih cuba menyesuaikan diri. Maklumlah suami orang pejabat, jadi waktu bangun tidur sudah lari sedikit. Namun Erra tidak merasa dibebani sebaliknya ia pengalaman yang cukup manis buat Erra," katanya yang sudah mula turun ke dapur memasak buat suami tersayang.

Emran pada pandangan mata Erra bukanlah seorang suami yang cerewet. Apa saja yang dihidangkan, Emran tidak pernah menolak. Namun sebagai seorang isteri, Erra ingin menawan hati suaminya dengan sesuatu yang disukai dan kini dia sedang mempelajari cara memasak daging dendeng. Walaupun agak rumit Erra akan tetap mempelajarinya demi menambat hati suami.

Sebelum perkahwinan ini terlaksana, Erra dihujani gosip membabitkan hubungannya dengan Hans. Dia sedar bukan senang menepis semua gosip itu dengan mudah, namun sebagai anak seni dia sudah memahami asam garam dunia seni. Kata Erra, apa yang dia boleh lakukan adalah mengikutkan saja rentak dunia seni.

Perkahwinan bukan bermakna dengan mudah dia dapat melenyapkan segala gosip itu. Malah, Erra sendiri tidak berharap ia akan hilang seperti magis. Yang penting dia tahu apa yang dilakukan dan asalkan suaminya tahu siapa dirinya itu sudah memadai.

Kini Erra melangkah ke satu fasa baru di dalam kehidupan seorang wanita iaitu bergelar isteri. Tanggungjawabnya tidak lagi serupa saat dia hidup solo. Sebelum melakukan sesuatu suami harus didahulukan. Lalu kata Erra, dia akan lebih selektif dalam kerjayanya. Jika memerlukan dia meninggalkan suami untuk jangka masa yang lama, perkara itu akan dipertimbangkan terlebih dulu.

“Kalau show dan penggambaran memakan masa yang lama dan jauh, Erra akan fikirkan. Tapi kalau penggambaran di sekitar Kuala Lumpur saja, Erra tidak akan menolak. Iyalah sekarang sudah bergelar isteri, kenalah jaga suami.

"Suami Erra jenis yang tidak kisah, dia seorang yang sangat memahami. Untuk show mungkin Erra akan memilih di hujung minggu saja," katanya yang tidak sabar untuk menimang cahaya mata.

Pernah terlintas di fikiran ketika hidup solo untuk mengambil seorang anak angkat bagi menyerikan rumah tangga tetapi selepas berkahwin, impian itu tidak lagi hadir. Sebaliknya kata Erra malu-malu, dia mahu menimang cahaya mata sendiri.

Emran juga bagaikan tidak sabar menantikan cahaya penyeri rumah tangga mereka. Mereka tidak mahu merancang, andai ia hadir dalam waktu terdekat mereka akan menerimanya dengan tangan terbuka.

Bagaimanapun Emran agak keberatan ditanya soal rumah tangga, sebaliknya dia lebih senang soalan mengenai kerjaya dan stesen radionya dijadikan topik perbualan. Namun apabila diajukan soalan padanya, dia tidak pula keberatan untuk menjawab. Sempat juga berkongsi cerita bahawa tidak ramai yang tahu bahawa isterinya memang suka bergurau.

"Hidup saya kini lebih terurus dan makan minum pun terjaga," ringkas jawap Emran yang gemarkan masakan asam pedas hasil air tangan isterinya.

Mengenai percutian bulan madu mereka pula, sehingga ke saat ini kata Emran mereka masih belum memikirkan mengenai destinasinya lagi. Apatah lagi dia bakal sibuk dengan pelancaran Suria FM yang akan diadakan pada 24 November ini di Dataran Merdeka.

"Sebenarnya sudah ada beberapa lokasi dalam perancangan kami. Antaranya Eropah tetapi kami belum putuskan lagi hendak ke mana. Mungkin selepas selesai pelancaran Suria FM nanti barulah kami akan putuskan," kata Emran.

No comments: