Wednesday, November 7, 2007

Kesilapan lalu sehingga 'digantung' selama setahun dijadikan iktibar



TRAGEDI hitam yang menimpa Rosnah Mat Aris awal tahun lalu memang menggemparkan industri hiburan tanah air. Apa tidaknya, hukuman 'digantung' daripada muncul dalam semua program yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) gara-gara keterlanjuran lidahnya boleh disifatkan sebagai membunuh karier seninya.

Walaupun Rosnah cuba merayu diringankan hukuman itu namun semuanya sia-sia. Bak kata bidalan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa. Tanpa sebarang kompromi, hukuman tetap diteruskan.



Sejak itu, mendung hitam mula meliputi hidup pelakon yang banyak melakonkan watak antagonis ini. Ramai penerbit merungut apabila drama yang dilakonkan Rosnah tidak dapat disiarkan di RTM.

Itu semua menambahkan tekanan dalam hidup Rosnah atau lebih mesra disapa Kak Ros. Biarpun pada permulaan agak berat untuk menerima keputusan itu, namun menyedari diri ibarat mentimun yang berdepan dengan durian, dia pasrah menerima ketentuan tuhan.

Rosnah tetap tabah melalui ranjau hidup sebagai anak seni. Percaya bahawa pasti akan ada sinar di hujung terowong, kini selepas tujuh bulan tragedi pahit itu berlaku, ternyata pintu rezeki masih terbuka untuknya.

Hip: Apa perkembangan terbaru Kak Ros? Masih terbabit dengan mana-mana produksi?

Rosnah: Alhamdulilah, Kak Ros masih lagi dipanggil untuk berlakon dalam drama dan filem. Tapi semua produk itu disiarkan di TV3, Astro dan TV9. Di RTM, kak Ros masih 'digantung' sehingga bulan Mac tahun depan. Setakat ini ada banyak juga drama yang Kak Ros bintangi. Antaranya Sinar Qayyum yang akan disiarkan di TV9 dan filem Duyung. Drama Sinar Qayyum mengisahkan orang tua yang dihantar di rumah kebajikan

Hip: Terlanjur bercerita fasal digantung ini, apakah Kak Ros rasa hukuman itu membunuh karier Kak Ros?

Rosnah: Terus terang, kak Ros tak rasa bahawa hukuman itu mampu membunuh karier kak Ros kerana setakat ini tawaran berlakon masih ada. Lagipun, selain berlakon, Kak Ros juga ada perniagaan sendiri iaitu menjual pakaian di Damansara Uptown. Cuma perniagaan ini anak-anak Kak Ros yang jaga. Jadi kata orang, apabila kena hukuman seperti itu, tak adalah seperti kak Ros kehilangan punca rezeki sehingga tak makan. Itu mustahil. Nampaknya, tuhan masih beri rezekiNya kepada Kak Ros.

Hip: Bagaimana status drama lakonan Kak Ros yang sepatutnya disiarkan di RTM?

Rosnah: Mengenai perkara itu, Kak Ros ada buat rayuan kepada RTM supaya meringankan beban penerbit berkenaan dengan membayar produk mereka. Kak Ros tak kisah jika RTM tidak siarkan produk terbabit tetapi biarlah bayaran untuk drama itu dijelaskan. Kalau boleh Kak Ros tidak mahu penerbit drama itu rugi kerana Kak Ros. Alhamdulillah, bayaran itu sudah pun mereka jelaskan. Jadi bolehlah mereka buat modal untuk menerbitkan produk seterusnya.

Hip: Apabila Kak Ros dihukum, bagaimana penerimaan rakan-rakan lain? Menjauhkan diri atau masih bersama Kak Ros?

Rosnah: Alhamduliilah, mereka setia bersama Kak Ros. Mereka juga memberikan kekuatan dalam diri Kak Ros supaya tabah menghadapi ujian yang mendatang. Begitu juga dengan peminat Kak Ros yang ditemui di merata tempat sehinggalah ke Sabah, Sarawak dan Singapura, mereka banyak meniupkan semangat Kak Ros supaya bersabar. Malah mereka juga sentiasa ternanti-nantikan filem atau drama lakonan Kak Ros. Bagi mereka, apa yang berlaku bukanlah satu perkara yang disengajakan. Dan itulah juga yang Kak Ros rasakan sehingga kini.

Hip: Maksud Kak Ros?

Rosnah: Iyalah seperti yang Kak Ros tegaskan sebelum ini, Kak Ros kesal dengan apa yang berlaku. Apa yang keluar daripada mulut saya bukan disengajakan. Saya pula sudah tua, kadang-kadang otak fikir lain, mulut keluar lain. Lagipun, ramai yang sedia maklum bahawa saya ini jenis orang yang kuat melatah. Jadi, ini semua ada kaitan dengan apa yang berlaku. Apapun, kalau boleh saya tidak mahu lagi mengingati peristiwa itu. Yang berlalu, biarkan berlalu. Selepas ini Kak Ros akan lebih berwaspada.

Hip :Apakah ini bermakna Kak Ros serik untuk muncul dalam program bual bicara yang kontroversi?

Rosnah: Saya tidak pernah serik atau kesal dengan apa yang berlaku. Perkara hendak terjadi, bukan boleh ditarik balik cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati menerima tawaran muncul dalam program bual bicara terutama yang membicarakan hal sensitif. Kak Ros juga akan tengok dulu apa keperluan Kak Ros untuk muncul dalam rancangan itu. Yang pasti, jika ia disiarkan secara langsung, Kak Ros awal-awal lagi akan menolak. Iyalah, takut pisang berbuah dua kali.

Hip: Sekiranya tempoh hukuman tamat, apakah Kak Ros masih ingin membintangi drama yang akan disiarkan di RTM?

Rosnah: Mengapa tidak? Kak Ros tidak suka bermusuh atau berdendam dengan sesiapa. Kalau ada tawaran, pasti Kak Ros akan terima. Lakonan adalah punca rezeki Kak Ros, jadi tidak wajar untuk Kak Ros menolaknya. Cuma sekarang ini kalau ada tawaran daripada mana-mana penerbit, Kak Ros akan tanya dulu drama ini akan disiarkan di saluran mana? Bukannya apa, Kak Ros tidak mahu mereka mengambil risiko

Hip: Sampai bila rasanya Kak Ros mahu bersendiri?

Rosnah: (Sambil tertawa) Kak Ros tidak terdesak untuk mencari jodoh. Bagi Kak Ros kalau ada, adalah. Walaupun ada ketika Kak Ros rasa sunyi, tapi kesibukan Kak Ros dengan kerjaya lakonan membuatkan Kak Ros terlupa seketika soal itu.

Hip: Masih lagi dikaitkan dengan lelaki muda?

Rosnah: Kak Ros jenis orang yang terbuka. Dengan lelaki berusia Kak Ros berkawan, dengan lelaki muda pun Kak Ros selesa. Alasan Kak Ros berkawan dengan lelaki muda ialah mereka ini lebih terbuka. Kadang-kadang mereka ini minat berlakon dan sebagai pelakon senior, saya banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka. Lagipun Kak Ros tak risau kerana ke manapun Kak Ros pergi, sentiasa ditemani anak lelaki Kak Ros. Anak lelaki Kak Ros dah besar-besar, jadi kurang sikit gosip.

Hip: Kalau diberi pilihan, mana yang Kak Ros rasa lebih sesuai dijadikan pasangan hidup. Lelaki berusia atau muda?

Rosnah: Kak Ros tak kisah. Mana-mana pun boleh asalkan dia memahami kerjaya Kak Ros sebagai pelakon dan menerima diri ini seadanya.

No comments: