Wednesday, November 7, 2007

Fahrin, Linda masih membisu seribu bahasa

AWAL September lalu, angin bertiup membawa perkhabaran pasangan ‘teman tapi mesra’ ini bakal melangkah ke fasa baru dalam perhubungan mereka. Melangkah ke alam pertunangan barangkali berita itu paling dinanti oleh pihak media mahu pun peminat pasangan selebriti yang masih tegar berahsia soal hati, Linda Onn dan Fahrin Ahmad.

Sebetulnya berita pertunangan mereka bukan pertama kali diperkatakan. Sedikit masa lalu, pasangan ini pernah dikhabarkan menjalin ikatan pertunangan di Tanah Suci Makkah namun baik Linda mahu pun Fahrin mereka berkeras menafikannya.

Apabila persoalan itu kembali diajukan kepada mereka berdua, pantas pasangan ini menepis dengan berkata, berita itu hanya sekadar khabar angin. Jujurnya, kata Linda mahu pun Fahrin, perjalanan ke alam itu (pertunangan) masih lagi jauh.

“Belum ada dalam fikiran lagi perancangan untuk mengikat tali pertunangan,” kata aktor bertubuh sasa yang baru saja membintangi slot Samarinda, Kasih Suci, perlahan tetapi serius.

Sampuk Linda, sesekali memandang Fahrin bagaikan meminta persetujuan, hubungan mesra mereka berjalan lancar. Kekal sebagai teman akrab namun untuk bercerita lanjut ke mana mahu dibawa perhubungan itu, mereka belum mempunyai jawapannya.

“Kami bahagia berteman,” kata Linda dalam senyuman manis yang tersirat makna yang mendalam.

Masih cuba berselindung, mereka tidak menolak keserasian antara mereka berdua sepanjang menjalin persahabatan.

Fahrin sendiri mengakui Linda ialah antara teman wanita yang paling akrab dengan dirinya tetapi katanya tegas, untuk ke peringkat seterusnya mereka belum ada perancangan.

Sekadar beralasan, Fahrin dan Linda tidak menolak ketentuan jodoh cuma kata mereka sepakat, masa belum sesuai untuk bercerita panjang mengenai soal hati.

Atau mungkin Linda masih belum yakin Fahrin mampu mengemudi perhubungan mereka? Sengaja pertanyaan itu dijolok, sekadar ingin mendasari sedalam mana ikatan hati antara mereka berdua.

“Kami tidak mahu meletakkan tarikh tertentu. Seandainya terlalu memikirkan sangat cakap orang, sedangkan kami belum bersedia disebabkan komitmen kerja yang ketat, apabila hubungan ini tidak menjadi kami juga yang mendapat malu.

“Justeru, lebih manis jika perkara ini tidak terlalu diperkatakan. Jujurnya, saya juga seperti Fahrin, belum terfikir lagi untuk membawa persahabatan kami melangkah setapak lebih jauh lagi,” kata Linda.

Seandainya hanya berteman, barangkali Linda tidak terasa hati apabila melihat foto mesra Fahrin dan pelakon wanita popular, Fasha Sandha dalam sebuah majalah.

Kata Linda, Fahrin ada memberitahunya mengenai hal itu malah peminat sendiri, banyak yang melenting dan marah apabila foto itu tersiar.

Seperti kata Linda, perasaan cemburu langsung tidak bertunas di hatinya kerana dia bukan wanita yang suka menyimpan prasangka.

“Lagipun Fahrin sudah memaklumkan itu gambar lama, diambil tahun lalu cuma baru-baru ini saja disiarkan. Saya sendiri tidak tahu untuk apa disiarkan?

“Mahu mengundang rasa cemburu di hati saya? Tidak mungkin kerana saya bukan seorang yang kuat cemburu. Lagipun saya sudah masak dengan permainan dalam industri hiburan, jadi untuk apa saya melatah,” kata pemilik rangkaian restoran My Mom’s Chicken Rice itu.

INFO: Fahrin dan Linda

Pelakon berusia 28 tahun ini berkawan rapat dengan Linda Onn, 30, sejak empat tahun lalu. Cuma beberapa bulan kebelakangan ini, hubungan rapat mereka kerap diperkatakan media hingga timbul gosip mereka mengikat tali pertunangan, baru-baru ini.


Aktor yang hangat dengan drama Datin Diaries dan Kau Yang Ku Sayang juga dikatakan menjadi tempat Linda mengadu selepas dia dihambat dengan kontroversi kegagalannya untuk muncul mengacarakan permaidani merah Anugerah Academy Ke-79, akhir Februari lalu.

Ketika Linda menjejakkan kaki di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas insiden itu, Fahrin setia menyambutnya dengan menghadiahkan sejambak bunga. Ia sekali gus menguatkan kenyataan hubungan mereka tidak lagi sekadar kawan biasa, sebaliknya lebih daripada itu.

Namun hingga kini, baik Fahrin mahu pun Linda selesa mengakui hubungan mereka hanya sebagai teman biasa.



No comments: