Tuesday, November 27, 2007

Seniman Hussein Abu Hassan meninggal dunia



KUALA LUMPUR, 26 NOV 2007: Seniman veteran Hussein Abu Hassan, 70, meninggal dunia pagi awal tadi selepas sekian lama menghidap pelbagai penyakit termasuk sakit jantung, buah pinggang, darah tinggi serta penyakit kencing manis.


Perkara ini disahkan anak beliau, pelakon Faizal Hussein, kepada murai.com.my sewaktu dihubungi menerusi telefon bimbitnya, pagi ini.


Faizal berkata, arwah bapanya itu meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi selepas dimasukkan ke Wad Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa hari yang lalu.


"Pemergian arwah memang sama sekali tidak disangka kerana baru malam tadi, seluruh keluarga berkumpul dan berada di sisinya. Tidak pula arwah menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia akan pergi meninggalkan kita.

"Malah, keadaannya pada ketika itu kelihatan seperti biasa. Ayah sempat bergurau senda dan bergelak ketawa dengan semua anak cucunya.


"Kami juga bercadang untuk menziarahinya sekali lagi pada waktu subuh tadi, tapi belum sempat kami ke sana, doktor terlebih dulu menghubungi dan memaklumkan kami, ayah telah pun tiada.


"Panggilan daripada doktor itu kami terima lebih kurang jam 5.30 pagi tadi. Kami terus bergegas ke sana. Walaupun doktor cuba melakukan CPR dan sebagainya, tapi sudah tersurat memang dia harus pergi menyahut seruan Ilahi," kata Faizal dengan tenang.


Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Danau Kota, di sini, selepas Asar nanti. Allahyarham meninggalkan balu, Seniwati Mahyon Ismail bersama tiga anak, Dilla, Faizal dan Fairuz, berserta empat cucu. Arwah juga merupakan bapa saudara kepada pelakon terkenal Rosyam Nor.


Allahyarham dilahirkan di Alor Gajah, Melaka pada 5 Mei 1937. Beliau mula menceburi bidang lakonan sebagai Pak Pacak dalam filem Sri Mersing pada 1961 diikuti Tun Teja, Fajar Menyingsing, Siti Payung, Panglima Besi, Amok Tok Nading, Laksamana Do Re Mi dan Loceng Maut (warna-warni).


Allahyarham juga pernah membintangi filem luar negara seperti Muah (Hong Kong), Bailey Big Deal (Australia), International Trades, Crazy Pikoy Goes To Malaysia (Filipina).


Pada 1975, Allahyarham menjadi pengarah melalui filem pertamanya, Bunga Padi Berdaun Lalang lakonan bersama Mahyon Ismail diikuti Panglima Badul, Senja Merah, Gila-Gila Remaja, Kanta Serigala dan Bujang Selamat.


Allahyarham pernah menerima Anugerah Seniman Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 (ABPBH2005) yang berlangsung di Genting Highlands, Pahang.


Takziah buat seluruh keluarga Allahyarham dan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
Al-Fatihah.

No comments: