Tuesday, November 27, 2007

fuh..cantik nyer nurul dan Farawahida


Nurul & Farawahida sama dan serupa



KULIT hitam manis mereka memberi satu keistimewaan kepada kedua-duanya. Itulah sebenarnya keindahan yang dimiliki Nurul dan Farawahida selain kejelitaan tersendiri anugerah Ilahi.

Ada juga yang menegur, mereka punya persamaan. Tidak tahu di mana persamaan itu. Mungkin bentuk wajah yang hampir serupa malah sesekali jika diamati terdengar tawa mereka tidak jauh berbeza.

Yang pasti, kedua-dua si hitam manis ini pernah punya cerita duka yang sama dalam mengharungi kehidupan bergelar artis popular. Bezanya, seorang kecoh kerana kisah perceraiannya manakala yang seorang lagi melalui ‘waktu kelam’ apabila dilanda gosip hangat kononnya menjalinkan hubungan dengan penerbit albumnya sendiri.

Tetapi kini kisah-kisah itu telah berlalu tanpa menjejaskan semangat mereka untuk terus berada dalam dunia hiburan. Malah kedua-duanya mengakui mahu melupakan kisah silam dan menjadikannya satu pengalaman berharga dalam kehidupan.

Titik. Begitulah kata mereka, yang lepas biarlah berlalu dan jika boleh tidak mahu diungkit lagi. Yang ada hari ini hanyalah untuk melalui masa depan yang menjanjikan seribu kebahagiaan.

* Tangis Syukur Nurul

Lebih setahun kembali solo, Nurul bahagia dengan kehidupan hari ini. Mungkin sesekali kesunyian menguasai diri namun peluang hidup sendiri digunakan sepenuhnya untuk memenuhi minat seni dan peribadi.

Tidak sabar menantikan album baru solo keenam (secara total Nurul mempunyai 10 album) yang dijadualkan akan berada di pasaran Januari ini, Nurul juga teruja menanti sambutan peminat khusus terhadap single Tangis Syukur yang akan diputarkan tidak lama lagi.

Dicipta oleh Tam dan lirik oleh Loloq, pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa memilih Tangis Syukur sebagai tajuknya.

Apakah lagu itu menggambarkan apa yang dialami oleh penyanyi ini? Sementelah mendengar liriknya yang berbunyi: “Pabila sampai saat genting barulah aku tahu, padamu aku bukanlah penting, hanyalah perhiasanmu bukti kau mampu”.

Jelas Nurul, lagu itu adalah sebuah interpretasi penulis lirik yang mahu mengabadikan nukilannya berilhamkan kisah-kisah yang berlaku pada kehidupan masa lalu penyanyi itu.

“Memang orang akan kaitkan lagu itu dengan kisah saya tapi nyanyian itu tentang satu luahan perasaan,” kata Nurul.

“Album ini punya seleksi lagu-lagu yang indah. Selain Tam, Yasin juga mencipta sebuah lagu berjudul Cerita Lama dan Julfekar turut memberikan dua buah lagunya,” tambah Nurul.

Lagu Aku Tak Percaya dengan lirik, “Aku tak percaya, kau berikan hatimu untuknya, aku tak percaya kau berikan cintamu kepadanya,” sememangnya dicipta khas untuk Nurul. Sementara yang sebuah lagi merupakan lagu berunsur ketuhanan berjudul Duniaku.

“Ketika merakamkan lagu Duniaku saya menangis. Saya tersentuh dengan liriknya kerana dalam apa juga yang berlaku kepada diri dan kehidupan kita, akhirnya kita kembali dan sujud kepada-Nya,” ujar penyanyi ini.

Turut merakamkan lagu hitsnya Kerana Terluka dalam versi baru, Nurul menganggap, album ini sebuah “killer album” berdasarkan pemilihan lagu dan pembikinannya

Malah buat pertama kalinya kata Nurul, dia mencipta lagu sendiri yang berentak moderate yang masih belum pasti judulnya.

“Ia tentang keinginan dan kemahuan yang selama ini dicari dalam hidup. Ia ibarat sebuah lagu motivasi,” katanya jujur.

* Orang baru

Mengakui ada ketikanya apabila bersendirian, kebosanan melanda diri namun Nurul positif dan optimis dalam menjalani kehidupan.

“Tapi sudah tentu sebagai perempuan dan ibu tunggal, kita akan merasai satu ketakutan terutama apabila kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Perempuan selalu mahu ada pelindung.

“Saya akui adakalanya panik dan sedih tiba-tiba apabila mengingatkan tentang hidup sendiri membuatkan saya selalu mahu bekerja lebih kuat agar kalau tidak ada siapa yang menjaga, sekurang-kurangnya saya ada duit, kerja dan masa depan sebagai jaminan,” kata Nurul yang kini suka menghabiskan masa lapangnya dengan menunggang kuda, hobi terbaru yang telah lama diimpikan. Tidak adakah seorang jejaka yang mahu mencuri hatinya?

“Memang sesekali hati teringin untuk dicintai dan mencintai,” kata Nurul tanpa berselindung. Tapi dia tidak mencari dan akan menerima andai tiba saatnya.

“Tetapi sehingga kini, yang ada hanyalah kawan-kawan. Tidak lebih daripada itu. Kita perlukan kawan untuk bersembang. Tapi untuk ke peringkat seterusnya, belum lagi. Rasa nak bercinta ada tapi belum berputik dan berbunga.

“Bukan tidak ada yang mahu malah selepas habis edah dulu, ada duda yang mengajak saya kahwin. Tapi entahlah, mungkin belum terbuka hati,” jelasnya.

Jadi siapa jejaka tinggi lampai yang menemani Nurul di sebuah pusat peranginan ketika Deepavali lalu?

“Oh! Itu sekadar teman. Ia bukan seseorang yang istimewa dan usia kami juga jauh berbeza. Kami ke sana pun bersama sekumpulan teman. Kami pergi pagi dan balik petang yang sama,” kata Nurul.

* Farawahida dan semangat juang

Mengisi kekosongan bakat baru dalam industri muzik, kehadiran Farawahida mula mendapat perhatian apabila lagu Tanpamu menjadi siulan.

Sedang enak mencipta nama, isu hubungan dengan Julfekar membuatkan dia terguris namun luka itu tidak membekas di hati malah ia menjadi perangsang untuknya terus berjuang dalam seni.

“Jika ikutkan saya tidak mahu lagi bercakap soal itu. Cukup. Tutup sahaja. Tapi saya akui, ia memberikan satu ketabahan kepada saya untuk mengharungi dunia seni.

“Kerana tanpa cabaran dan gosip, bukanlah namanya artis. Dan saya akui sokongan padu keluarga khususnya ibu bapa memberikan satu saya pegangan teguh untuk terus melangkah.

“Lagipun, apa yang datang kenalah lalui. Cuma kita hendaknya janganlah pula cepat melatah,” kata Farawahida yang mesra dipanggil Fara ini.

Penyanyi berasal dari Taiping, Perak ini mengakui, kepercayaan ibu bapa terhadap dirinya membuatkan dia dapat meneruskan kelangsungan hubungan profesional dengan Julfekar.

Justeru, selepas berjaya dengan album Tanpamu, sejak Mei lalu, selepas setahun kemunculan album pertamanya, Farawahida kini hadir dengan album keduanya, Semuanya Ada Di Sini, juga berkolaborasi dengan Julfekar.

“Dia banyak membantu saya memberi ruang untuk hadir dalam bidang ini. Jadi mengapa saya perlu rasa takut dan gusar.

“Memanglah awalnya saya kecewa, tertanya-tanya mengapa saya perlu menanggung perkara ini dalam perjalanan saya tapi saya tidak boleh patah semangat. Bagi saya, jalan harus diteruskan, bukan membelok ke belakang dan melupakan kerjaya yang saya minati ini.

“Lagipun benda tak betul, buat apa saya ambil kisah sangat,” kata Farawahida.

* Semuanya Ada Di Sini

Mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa Farawahida sudah muncul dengan album keduanya kerana tidak banyak kisah tentangnya diuar-uarkan.

Anak manja ini sendiri mengakui namun ia bukanlah satu dilema kepadanya kerana percaya syarikat rakaman sudah bersedia dengan strategi pemasarannya tersendiri.

Menampilkan tiga single pertama, Semuanya Ada Di Sini, Rakus dan Buah Hati, kini single kedua, Baby Honey dan Penglipurlara sedang giat dipromosikan.

“Sebenarnya lagu Tanpamu lambat meletup dan ketika diminati dan masih kuat pengaruhnya di corong radio, kita pula muncul dengan album baru dan single baru.

“Tetapi ia bukan konflik. Mungkin sebilangan peminat sahaja yang belum tahu mengenainya tetapi mereka yang sudah mendengar album ini memberikan respons yang menggalakkan.

“Sebab saya tengok, apabila saya mendendangkannya di show-show, mereka turut menyanyi bersama,” kata Farawahida yang turut gembira dengan penjualan album itu yang sudah mencecah 3,000 unit sejak dipasarkan enam bulan lalu.

Malah katanya, lagu-lagu daripada album baru ini turut mendapat pilihan sebagai lagu tema beberapa drama tempatan.

Antaranya kata Farawahida, lagu Di Sini Ada Cinta yang diyanyikan bersama penyanyi Indonesia, Endang S. Taurina menjadi lagu tema drama Jelatang yang kini sedang ditayangkan di TV3.

Lagu Semuanya Ada Di Sini dan Adakah Masih Ada turut dimuatkan dalam drama Datin Diaries selain lagu Jangan Simpan Tangismu drama RTM yang juga menggunakan lagu tema daripada judul yang sama.

“Tunggulah, mungkin selepas majlis pelancarannya, ia tidak lagi sepi,” kata Farawahida yang bakal melancarkan album ini pada waktu terdekat ini bersama-sama kemunculan MTV karaoke, Semuanya Ada Di Sini.

No comments: