Friday, November 16, 2007

Radio Era tak pernah 'gam' sesiapa








Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Setiap lagu baru perlu tunggu giliran untuk diputarkan di stesen radio nombor satu negara

STESEN radio nombor satu negara, Era tidak pernah selektif dalam soal pemilihan lagu untuk diputarkan di stesen miliknya.

Pengurus Program Era, Rostam Said, berkata Era juga tidak pernah 'gam' artis dengan sesuka hati sekalipun artis berkenaan mempunyai masalah disiplin. Katanya, dia juga tidak mempunyai masalah peribadi dengan artis sehingga lagu mereka tidak dimainkan di stesen radio Era.



Jelas Rostam, setiap lagu baru perlu menunggu giliran untuk diputarkan. Tidak semestinya apabila sesebuah lagu baru diterbitkan maka ia akan diputarkan secepat mungkin sedangkan banyak lagi lagu lain yang terlebih dulu diterbitkan masih belum diputarkan.

"Adalah tidak adil bagi saya apabila orang cuba mengajar saya bagaimana untuk mengendalikan stesen radio sedangkan Era mempunyai kriteria serta garis panduan untuk menyiarkan sesebuah lagu.

"Setiap hari ada saja lagu baru yang kita terima. Tidak semestinya apabila mereka serahkan pada kita, maka kita akan putarkan dengan serta-merta. Dan apabila kita tidak menyiarkan lagu itu tidak bermakna kita tidak akan memutarkan langsung.





"Apabila kita tidak mainkan sesebuah lagu itu, dengan mudah orang membuat tanggapan yang kita tidak akan memutarkan lagu berkenaan. Kita akan putarkan cuma cepat atau lambat saja," katanya yang ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hotlink bersama Era baru-baru ini.

Tambah Rostam lagi, walaupun menyiarkan sesebuah lagu itu agak lambat, tidak bermakna lagu berkenaan akan menjadi kurang popular. Katanya, lagu Dealova yang diputarkan selepas setahun lagu itu diterbitkan tetap popular dan menjadi kegilaan ramai.

"Era juga tidak kisah kalau artis itu kena tangkap kerana masalah tertentu, kita akan tetap putarkan lagu dia. Bagi kami itu adalah masalah mereka. Kita tidak ada istilah 'gam', saya juga tidak ada masalah peribadi dengan artis sehingga lagu mereka tidak dimainkan," katanya lagi.

Mengulas mengenai barisan baru penyampai radionya, Rostam berkata setakat ini mereka menerima maklum balas yang positif daripada pendengar setia Era dan strategi baru yang diperkenalkan perlu untuk mempertahankan kedudukan Era di tangga pertama.

Walaupun katanya perubahan itu mengambil sedikit masa untuk pendengar menyesuaikan diri, namun sedikit demi sedikit mereka semakin menerimanya. Strategi dan idea baru sering difikirkan stesen radio swasta berkenaan demi mengukuhkan kedudukan mereka apatah lagi dengan persaingan yang semakin hebat.

Era, Hotlink raikan pendengar setia

SOKONGAN berterusan pendengarnya, tidak pernah dilupakan oleh stesen radio Era. Menutup tirai Syawal, Era dan Hotlink meraikan pendengarnya pada majlis rumah terbuka ketiga mereka.

Rumah terbuka yang pertama diadakan pada 28 November lalu di Pulau Pinang untuk mendekatkan Era dengan pendengar mereka di utara tanah air. Diikuti dengan Johor Bahru pada 3 November.

Dan sekali lagi Era berkolaborasi dengan Hotlink mengadakan rumah terbuka yang menjadi penutup Syawal pada 10 November lalu bertempat di Sunway Resort Hotel & Spa.

Rumah terbuka itu menjadi acara tahunan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan pendengar setia mereka seramai 60 orang.

Penyampai radio Era yang hadir pada petang itu ialah Linda Onn, Aznil, Yasmin Hani, Reza, Zizie dan Kieran. Selain menjamu selera, pendengar Era turut dihiburkan dengan persembahan daripada tiga artis iaitu Mila, Diddy dan Elyana.

No comments: