Saturday, November 10, 2007

Cinta baru Elly Mazlein



ELLY Mazlein langsung tidak berkecil hati apabila berita mengenai kegiatan seninya agak terpinggir daripada perhatian media, sejak kebelakangan ini.

Ia bukan bermakna dia hendak mengelak daripada perhatian publisiti, cuma kata penyanyi dan pelakon itu, aktiviti seninya tetap padat seperti dulu.



Mungkin suasananya berubah kerana dulu anak kelahiran Perak ini sibuk mengusung bagasi, beralih dari satu pentas ke satu pentas nyanyian yang lain.

Tetapi hari ini, bagasinya dibawa ke lokasi penggambaran dan akui Elly, selepas empat tahun mencuba nasib di bidang lakonan cintanya semakin kuat.

Tiada lagi istilah berlakon sekadar mengisi masa lapang sebaliknya, dia semakin serius mencuba pelbagai watak meskipun kebelakangan ini acap kali diajukan peranan gadis malang dan sedih.

"Saya tetap seperti dulu, tidak pernah terlintas untuk menjauhi media. Cuma mungkin kerana jadual kerja yang berbeza menyukarkan saya untuk memenuhi undangan sesi fotografi.

"Publisiti tetap penting kerana ia bertindak sebagai kelangsungan karier. Walaupun sudah hampir sedekad sebagai anak seni, saya masih mengharapkan publisiti untuk membantu mempromosikan hasil kerja saya.

"Namun saya bersyukur dengan lakonan, peminat masih dapat melihat kelibat saya. Sekurang-kurangnya peminat tahu saya masih ada meskipun aktiviti nyanyian sedikit perlahan," kata gadis berusia 26 tahun ini.

Memasuki usia ke-10 sebagai anak seni, Elly akur pengalamannya tidak sebesar mana. Sekadar cebisan zarah yang perlu terus didasari dan digali kerana dia mendambakan limpahan ilmu untuk menggilap bakatnya.

Setiap waktu dia menghargai masa yang dilaluinya di lokasi dan kata Elly, empat tahun sebagai pelakon, masih terlalu cetek pengalaman yang dikutipnya.

Paling utama katanya, jangan jadikan sesuatu bidang itu sebagai sandaran sebaliknya lakukan dengan penuh keikhlasan dan serius kerana seni sudah sebati dengan dirinya.

"Jangan hanya melihat kepada angka, tetapi nilai pengalaman yang dilalui. Mungkin saya sudah lama tetapi pengalaman saya tidak banyak. Disebabkan itu saya tetap menganggap diri ini masih baru walaupun semakin memahami sepak terajang dunia seni," kata penyanyi yang popular dengan lagu Bakawali dan Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan.

Mula berlakon sejak 2003, 2007 menyaksikan profil lakonannya semakin mantap dengan himpunan drama yang menguji kekuatan bakatnya.

Antara drama yang dijayakannya sepanjang 2007 adalah Di Sebalik Kamar Majistret (13 episod), Bukan Yang Pertama (26 episod), Jangan Simpan Tangismu (26 episod), Relakan Cinta (13 episod), Spa-Q (60 episod) selain telemovie seperti U/P: Hati, Seharum Az-Zahra, Restumu Ibu dan Tetamu Ayah.

"Entah kenapa saya lebih kerap diajukan peranan sedih, watak wanita yang sentiasa berendam air mata dan mengalah kepada keadaan.

"Cuma dalam drama bersiri Spa-Q watak yang diberikan sedikit berbeza.

"Saya menjadi Farah yang manja, lincah dan sedikit menggeletis. Seronok kerana sekurang-kurangnya saya dapat mempelbagaikan karakter.

"Bukan tidak suka watak menangis kerana ia turut memberikan cabaran tetapi saya mahu lakonan saya dilihat ada kepelbagaian. Alhamdulillah, saya semakin selesa dengan dunia lakonan walaupun ia masih baru buat saya," katanya.

>> Jangan tanya soal lelaki

MASIH kental dengan pendiriannya untuk tidak berbicara mengenai lelaki, pertemuan kali ini menyaksikan Elly masih mahu menyimpan kisah percintaan itu jauh tertanam di sudut hatinya saja.

Bagi Elly, sebagai wanita tidak manis jika dia beriya-iya bercerita mengenai kisah percintaannya kerana hakikatnya antara mereka berdua masih belum ada ikatan yang pasti.

Cukup kata Elly, jika hanya ibu bapa dan keluarga yang mengetahui siapa jejaka yang menghuni sudut hatinya, selebihnya biar ia menjadi rahsia dirinya.

"Bila ada sesuatu yang pasti antara kami saya tidak akan berahsia. Cuma buat masa ini, saya belum bersedia untuk berkongsi kisah percintaan dengan sesiapa saja.

"Jujurnya saya kurang selesa apabila kisah percintaan saya terlalu digembar-gemburkan. Biar semuanya pasti baru saya selesa untuk berbicara. Apa yang dapat saya katakan, saya tidak pernah menolak jodoh.

"Jika ia datang saya tidak akan menolak, cuma saya berdoa dipertemukan dengan lelaki yang ikhlas menerima saya yang memiliki kelebihan dan kekurangannya," katanya.

INFO: Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi

Nama Komersial: Elly Mazlein
Tarikh Lahir: 17 Disember 1980
Asal: Behrang, Perak
Keluarga: Anak bongsu daripada tiga beradik
Kerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacara
Album: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), Atas Nama Cinta (2004) dan The Best Of Elly Mazlein (album kompilasi)
Drama: Gerak Khas, Janji Kekasih, Sembilu Kasih, Gerhana di Mata Kabus Di Hati, Di Sebalik Kamar Majistret, Bukan Yang Pertama, Jangan Simpan Tangismu, Relakan Cinta, Spa-Q, U/P: Hati, Seharum Az-Zahra, Restumu Ibu dan Tetamu Ayah

No comments: