Thursday, November 8, 2007

Aishah Sinclair tidak sabar timang anak


PERKAHWINAN pasangan pengacara jelita Aishah Jennifer Mohamed Sinclair, 27, atau manis disapa Aishah Sinclair bersama suaminya Shanaz, 29 hampir memasuki usia dua tahun, tetapi sehingga kini masih belum ada tanda kasih mereka bakal dilengkapkan dengan kehadiran cahaya mata.

Bagaimanapun, pasangan itu tetap tabah menanti wajah comel seorang bayi untuk menyerikan lagi rumah tangga. Barangkali masih belum ada rezeki biarpun Aishah mengakui tidak pernah merancang dalam perhubungan mereka.

“Sejak akhir-akhir ini saya begitu seronok melihat bayi. Mereka memang comel. Terdetik di hati untuk memilikinya namun saya akur yang rezeki itu masih belum sampai. Insya-Allah kalau ada rezeki saya pasti memilikinya suatu hari nanti.



“Saya sangat suka dengan kanak-kanak dan setelah hampir dua tahun berkahwin saya kini bersedia sekiranya sudah ditakdirkan untuk saya menimang cahaya mata dalam masa terdekat ini.

“Jika dulu mungkin saya belum bersedia kerana mahu terlebih dulu mengenali suami saya dengan lebih dekat selain sibuk dengan pelbagai program yang saya kendalikan. Tapi kini saya hanya berserah saja kepada Tuhan untuk menentukan kerana semua yang dirancang itu tidak akan berhasil tanpa kehendak-Nya.

“Entahlah perasaan ini timbul apabila buat pertama kali saya beraya di kampung suami di Perak. Melihat anak saudara seronok beraya dan tiba-tiba terasa sunyi pula.

“Tahun ini saya juga sedih kerana tidak dapat sembahyang raya bersama ibu seperti tahun sebelum ini. Tapi itu tidak menjadi masalah besar kerana saya juga sudah mempunyai tanggungjawab sendiri sebagai seorang isteri yang perlu dilakukan,” kata adik kepada pengacara dan pelakon kacak, Ashraf Sinclair.

Gadis kelahiran kota London ini di khabarnya sedang gigih mencari peluang untuk muncul di layar perak bagi memperkembangkan bakatnya menerusi bidang lakonan.

PROFIL: Aishah Jennifer Mohamed Sinclair

NAMA KOMERSIAL: Aishah Sinclair

TARIKH LAHIR: 27 Oktober 1980

UMUR: 25 tahun

PENDIDIKAN: Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

PENGALAMAN BERLAKON/ MODEL: Sejak 1998 antaranya Pepsi, Fair & Lovely, Twisties, Padini Authentic, Cadbury, Dutch Lady, penampilan istimewa dalam filem Gol & Gincu dan Bujang Senang

PENGACARAAN: Pilates (Astro Ria), Life Traits (RTM) dan Voice Your Choice (8TV), Beauty Secrets From The East (TV3), Quickie (8TV).

HOBI: Membaca, menunggang kuda (menyertai pelbagai pertandingan inter-club, termasuk 'Dressage' dan `Show Jumping')

MINAT: Melancong, berkenalan, aktiviti luar dan isu berkaitan alam sekitar.

No comments: